Monday, April 19, 2010

Untuk teman

Dari pesanan ringkas pertama (sms) di telefon bimbit yang aku terima dari dia petang itu, aku tahu dia memerlukan kekuatan. Walau tiada kata yang terus menjurus kepada apa yang dialaminya, aku tahu. Sudah lama benar aku kenalinya. Gelombang ingatan kami sentiasa sampai kepada satu sama lain.

Tahukah kamu semakin lama kamu aku kenali, semakin aku gembira. Jika dulu hati aku selalu juga resah gelisah, mencari jalan untuk menyalurkan satu fahaman, kini aku tidak lagi bimbang. Aku tahu kamu dah cukup matang untuk itu. Hanya sesekali perlu diberikan dos-dos tertentu untuk mengembalikan semangat yang kadang-kadang jatuh.



Kamu, kamu tahu tak bagaimana rasulullah 'bekerja' satu ketika dahulu. Kamu tahu betapa lelahnya baginda berusaha menyampaikan pada umat manusia sedunia tentang satu berita yang sangat besar, yang sangat baru, yang sangat sukar untuk diterima masyarakat pada ketika itu. Berita itu tidak lain adalah berita tentang ketuhanan yang sebenar, ya Islam. Bukan mudah untuk baginda melaluinya. Masakan tidak, dilaluinya tanpa punya ibu dan bapa sebagai tempat mengadu kasih. Dilaluinya seorang diri sebelum pengislaman sahabat-sahabat. Siapa tempat baginda mengadu? Allah. siapa lagi? Allah.

Jalan yang baginda pilih bukanlah jalan mudah. Sama sekali tidak. Tidak terkira banyaknya dugaan, tohmahan, celaan, baik mental mahupun jasad baginda sendiri. Bertubi-tubi. Berduyun-duyun manusia yang mencaci baginda, mengatakan baginda gila. Pada siapa baginda mengadu? Allah. Pada siapa baginda menyerahkan hati yang sedih pilu? Allah. Siapa yang dapat menenangkan hati baginda kalau bukan Rabb pencipta kita yakni Allah. Biarlah manusia-manusia disekelilingmu mengatakan itu dan ini, kamu takkan boleh berhenti dari apa yang kamu tempuhi kini. Jangan, jangan sesekali berundur. Jangan merasa lemah. Jangan putus asa dengan ujian-ujian dunia. Kita mengejar sesuatu yang abadi, nun jauh di sana. Jauh, memang jauh. Sudahlah jauh, penuh liku. Tiada karpet merah yang dihamparkan. Tiada juga bunga-bunga mewangi yang ditaburkan sepanjang perjalanan. Tapi, dipenghujungnya ada segala. Tidak yakinkah kamu akan janji itu.




Aku mahu kita sama-sama memahat janji setia. Kita kan mahu bersama selamanya, bukan hanya di dunia. Andai kamu tidak mampu berlari, kita berjalan. Andai kamu tak mampu berjalan, merangkaklah. Andai kamu tak mampu merangkak, aku akan tarik kamu bersama aku. Jangan kamu lepaskan genggaman tanganku. Andai aku juga jatuh, aku mahu kau bantu aku. Jangan sesekali kita hentikan perjalanan. Ini janji aku, sudikah kamu untuk bersama aku ?



Kita lupakan masa-masa kita yang dahulu. Sekarang kita bangun, dan pandang ke hadapan, buat segala persiapan. Yang keruh itu kita buang jauh-jauh. Mari kita perbaharui niat kita. Sesuatu yang kecil boleh jadi besar hanya dengan niat. Juga sesuatu yang besar boleh jadi kecil kerana niat. Posisi kamu sekarang sangatlah baik. Satu posisi yang Allah anugerahkan, yang terbaik untuk kamu. Tidak ada yang lebih baik melainkan apa yang telah terjadi. Semuanya adalah ketetapan Allah. Dan segala ketetapan Allah itu pastinya memang terbaik untuk kita. Bekerjalah dengan penuh rasa cinta. kerana dengan cinta, yang susah akan menjadi mudah, yang jauh akan terasa dekat, yang pahit akan terasa manis. Ya, pupuklah cinta kepada Rabb kita, insyaAllah sesekali tidak akan terasa penat untuk mengejar cintanya. Tanggungjawab tanpa cinta akan buat kita letih, longlai, resah dan jemu!

Aku harap kamu kuat. Curilah semangat-semangat baginda, para nabi, sahabat mahupun golongan-golongan 'bekerja' disekeliling kamu. Adukan pada tuhan akan luka-luka di hatimu. Pasti, itulah ubat yang terbaik.

Aku sayang kamu, namun Allah lebih sayang kamu dari apa yang aku mampu.
Kamu juga mesti sayangkan Allah lebih dari aku, lebih dari semuanya.

Doa aku titipkan dari jauh, istimewa buatmu.
Kuatlah wahai teman.

1 comments:

fizt said...

hmm..
terima kasih teman..
sejurus satu mesej dihantar, sy trima pula satu karangan titipan semangat dari jauh..ya, dari sahabat tercinta.
ku tahu perjuangan ku tak sesukar sahabatku ini di bumi mesir..tapi aku masih pohon kekuatan yang berlipat kali ganda walaupun hanya menjadi khalifah yang berjuang dan berada di posisi ini di bumi gambang ini. Semangat yang kian hilang pasti Allah kirimkan dengan yang baru melalui medium sahabat ku ini..setiap kali pasti begini. Allah....ku panjatkan doa, agar Kau lindungilah temanku ini..jadikan lah dia sebagai asbab hidayah kepada sesiapa yang melihatnya, ya Allah..jadikan lah dia seorang doktor yang mengubati pesakitnya dengan penuh rasa cintanya padaMu ya Allah..kukirimkan rindu yang mendalam khas kepada kamu, teman.

salam rindu, salam sayang.